UtusanBorneo130726.jpg

ASSAR umum pengagihan dividen 6.5 sen seunit

Abang Johari melancarkan logo korporat baharu PASB sambil disaksikan yang lain semasa Majlis Pengumuman Dividen ASSAR Bagi Tahun Kewangan Berakhir 30 Jun 2026 hari ini. - Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Amanah Saham Sarawak (ASSAR) semalam mengumumkan pengagihan dividen sebanyak 6.5 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kadar dividen itu meningkat 8.3 peratus berbanding 6.0 sen seunit bagi tahun kewangan 2025 dan 2024, sekali gus menjadi pengagihan dividen tertinggi di negara ini.

Beliau berkata, pengagihan dividen melibatkan RM34.35 juta itu merangkumi dividen interim sebanyak 3.0 sen seunit yang telah dibayar pada 16 Februari lalu.

“Manakala pengagihan selebihnya iaitu sebanyak 3.5 sen seunit akan dilakukan sebelum penghujung bulan Julai ini, untuk disalurkan kepada 57,926 pemegang unit ASSAR berdasarkan baki pegangan unit mereka pada 30 Jun 2026.

“Pengagihan dividen ini juga merupakan pengagihan yang terbesar di Malaysia termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan yang lain,” katanya pada Majlis Pengumuman Dividen ASSAR bagi Tahun Kewangan Berakhir 30 Jun 2026 di Pusat Hikmah Exchange di sini, hari ini.

Menjelas lanjut, Abang Johari berkata berdasarkan pendapatan boleh agih sebanyak RM39.65 juta berbanding peruntukan RM19.11 juta bagi agihan dividen seterusnya, terdapat lebihan pendapatan sebanyak RM20.54 juta yang tersedia sebagai rizab bagi menampung pendapatan Tabung ASSAR untuk tempoh yang seterusnya.

“Apa yang lebih membanggakan untuk tahun ini ialah di samping mampu mengagihkan kadar dividen yang lebih tinggi, ASSAR turut berjaya mempertingkatkan pengumpulan rizab.

“Peningkatan itu menyaksikan rizab ASSAR meningkat sebanyak 71.3 peratus iaitu daripada RM11.99 juta pada penghujung tahun kewangan 2025 kepada RM20.54 juta,” katanya.

Beliau berharap kadar pengagihan dividen yang cukup kompetitif disokong pula oleh rizab pendapatan yang mampan, dapat mencetus serta menggalakkan lagi semangat dan minat melabur di kalangan masyarakat Bumiputera Sarawak terutama dikalangan generasi muda.

Selain menawarkan pengagihan dividen yang kompetitif, Abang Johari memberitahu bahawa ASSAR merupakan satu instrumen pelaburan yang selamat dan berisiko rendah dengan adanya mekanisme jaminan harga minimum RM1.00 seunit.

“Saya berharap rakyat Sarawak terus menyokong produk dan inisiatif pelaburan yang ditawarkan oleh ASSAR, sebagai satu bentuk kerjasama dalam membina masa depan kewangan yang lebih mampan,” ujarnya.

Pada majlis berkenaan, Abang Johari turut melancarkan logo korporat baharu Permodalan  ASSAR Sdn Bhd (PASB) yang sekali gus menjadi mercu tanda penting dalam perjalanan transformasi organisasi itu serta komitmennya menjadi sebuah syarikat pegangan pelaburan milik Kerajaan Sarawak yang mampan dari segi komersial.

 

oleh Marlinda Mardzuki

Sumber: ASSAR umum pengagihan dividen 6.5 sen seunit | Utusan Borneo Online