
Premier cadang ASSAR perluas portfolio pelaburan, umum dividen 6.5 sen seunit
Premier Sarawak menyampaikan ucapan pada Majlis Pengumuman Dividen Amanah Saham Sarawak Berhad (ASSAR) bagi Tahun Kewangan Berakhir 30 Jun 2026 di Hikmah Exchange Event Centre, Kuching
KUCHING, 13 Julai - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, mencadangkan Amanah Saham Sarawak Berhad (ASSAR) mengkaji peluasan portfolio pelaburannya melalui pengenalan dana baharu yang lebih inklusif bagi membolehkan penyertaan semua lapisan masyarakat, termasuk bukan Bumiputera, selaras dengan perkembangan ekonomi Sarawak yang semakin pesat.
Beliau berkata, langkah tersebut diyakini mampu memperluaskan penyertaan pelabur, memupuk budaya menyimpan dan melabur dalam kalangan rakyat serta meningkatkan pengumpulan modal domestik bagi menyokong pembangunan ekonomi negeri secara mampan.
Pada Majlis Pengumuman Dividen ASSAR bagi Tahun Kewangan Berakhir 30 Jun 2026 di Hikmah Exchange Event Centre, di sini, hari ini Premier turut melancarkan logo rasmi Permodalan ASSAR Sdn. Bhd. (PASB) sebagai identiti korporat baharu yang mencerminkan aspirasi syarikat dalam memperkukuh pengurusan pelaburan serta memperluaskan portfolio strategiknya.
Dalam ucapannya, beliau turut mengumumkan pengagihan dividen ASSAR sebanyak 6.5 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, meningkat 8.3 peratus berbanding 6.0 sen seunit yang diagihkan bagi tahun kewangan 2025 dan 2024.
Menurutnya, jumlah pengagihan dividen berkenaan mencecah RM34.35 juta, melibatkan 57,926 pemegang unit. Agihan tersebut merangkumi dividen interim sebanyak 3.0 sen seunit yang telah dibayar pada 16 Februari lalu serta dividen akhir 3.5 sen seunit yang akan dibayar sebelum penghujung Julai ini berdasarkan pegangan unit setakat 30 Jun 2026.
Tambahnya, peningkatan kadar dividen itu disokong oleh prestasi pelaburan yang lebih kukuh apabila ASSAR merekodkan pendapatan kasar direalisasikan sebanyak RM51.02 juta, meningkat 33 peratus berbanding tahun sebelumnya. Selepas mengambil kira perbelanjaan sebanyak RM8.12 juta, dana itu mencatatkan pendapatan bersih berjumlah RM42.90 juta.
Katanya lagi, Nilai Aset Bersih (NAB) ASSAR turut meningkat kepada RM617.31 juta setakat 30 Jun 2026, iaitu pertumbuhan hampir 14 peratus berbanding tahun sebelumnya. Pada masa sama, jumlah unit dalam edaran meningkat kepada 546.08 juta unit berbanding 484.05 juta unit, manakala NAB seunit kekal stabil pada RM1.13, sekali gus mencerminkan kedudukan kewangan dana yang terus kukuh.
Menurut beliau, prestasi tersebut didorong oleh pengurusan portfolio yang berdisiplin, prestasi memberangsangkan pelaburan ekuiti serta sumbangan sekuriti berpendapatan tetap yang terus menyediakan aliran pendapatan stabil. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) atas peruntukan saham khas Bumiputera bagi Tawaran Awam Permulaan (IPO) yang memberi sumbangan signifikan kepada prestasi pelaburan ASSAR.
Selain mencatat peningkatan kadar dividen, ASSAR turut merekodkan peningkatan rizab pendapatan kepada RM20.54 juta, iaitu pertumbuhan 71.3 peratus berbanding RM11.99 juta pada tahun kewangan sebelumnya. Beliau berkata, kedudukan rizab yang lebih kukuh itu akan menyokong kesinambungan agihan dividen yang kompetitif serta meningkatkan daya tahan dana dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran.
Dalam pada itu, Premier menyeru rakyat Sarawak agar terus menjadikan ASSAR sebagai instrumen pelaburan jangka panjang di samping menggalakkan pemegang unit mengemas kini maklumat peribadi masing-masing bagi memastikan urusan pembayaran dividen dapat dilaksanakan dengan lancar.
Katanya, beliau turut berharap cadangan memperluaskan penyertaan pelabur dapat direalisasikan agar lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaat pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Turut hadir Pengerusi Yayasan Tun Jugah, Datuk Patinggi Tan Sri Leonard Linggi anak Tun Jugah, Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali, Pengerusi Kumpulan Syarikat Permodalan ASSAR, Dato Sri Wahab Dolah serta kenamaan yang lain.
oleh: Mohamad Munir
